Masalah cramp atau kekejangan otot? Bagaimana cara mengatasi cramp?
- by Thaddeus Chung
-
Kekejangan otot, atau lebih dikenali sebagai cramp, adalah masalah yang sering dialami oleh ramai orang, terutama sekali selepas melakukan aktiviti fizikal. Cramp biasanya berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan rasa sakit yang amat sangat pada otot yang terlibat ketika berlari atau melakukan aktiviti yang berat atau secara mengejut.
Punca Kekejangan Otot
Kekejangan otot boleh disebabkan oleh beberapa faktor utama, seperti:
-
Tidak Memanaskan Badan ('Warm-Up'):
Tidak melakukan aktiviti pemanasan sebelum bersukan adalah salah satu punca utama kekejangan otot. Warm-up membantu otot anda bersedia untuk aktiviti fizikal dengan meningkatkan aliran darah dan fleksibiliti. Tanpa Warm-up, otot akan lebih terdedah kepada kecederaan dan kekejangan. -
Penggunaan Otot Berlebihan:
Kerap berlaku selepas bersenam atau melakukan aktiviti fizikal yang berat tanpa rehat yang mencukupi. Otot yang digunakan secara berlebihan boleh menjadi letih dan tidak berfungsi dengan baik. Keletihan otot menghalang pengeluaran bahan toksik seperti asid laktik, menyebabkan otot mengalami kekejangan. -
Kekurangan Oksigen pada Otot:
Apabila aliran darah ke kaki berkurangan, terutamanya semasa berjalan atau bersukan, otot juga akan menerima kandungan oksigen yang berkurangan. Apabila otot tidak mendapat oksigen yang mencukupi, ia tidak dapat berfungsi dengan efisien. Ini boleh menyebabkan otot mengecut dan menyebabkan kesakitan. Otot memerlukan oksigen untuk mengekalkan pengecutan dan relaksasi yang betul.
-
Dehidrasi:
Kekurangan air dalam badan (dehidrasi) boleh menyebabkan kekurangan oksigen dan elektrolit dalam otot, menyebabkan kekejangan. Air adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan elektrolit dalam badan.
-
Kekurangan Mineral:
Sodium, kalsium, kalium, dan magnesium adalah mineral penting untuk fungsi otot. Kekurangan salah satu daripada mineral ini boleh menyebabkan kekejangan otot.
Rawatan kekejangan otot
Untuk merawat kekejangan otot, beberapa langkah boleh diambil untuk melegakan kesakitan dan mempercepat pemulihan:
-
Renggangan Otot yang Terlibat
Merenggangkan otot yang terlibat adalah cara utama untuk melegakan kekejangan. Contohnya, jika kekejangan berlaku pada betis, anda boleh memanjangkan kaki dan membengkokkan jari kaki ke arah badan. Renggangan ini membantu melawan arah tarikan otot dan mengurangkan kekejangan.
-
Penggunaan Ubat Penahan Sakit atau Semburan Analgesik Topikal
Pengambilan ubat penahan sakit seperti ibuprofen atau paracetamol dapat melegakan kesakitan dan membantu pemulihan otot. Semburan analgesik dapat melegakan kesakitan dalam masa 10-15 minit dengan meluaskan saluran darah di kawasan yang disembur, menghasilkan rasa hangat di kawasan yang sakit, menghilangkan kekejangan otot dan meningkatkan metabolisme.
-
Hidrasi yang Cukup
Pastikan anda minum air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi. Ini penting untuk mengekalkan keseimbangan elektrolit dalam badan. -
Mengambil supplement Elektrolit tambahan
Untuk menggantikan garam seperti sodium, kalsium, kalium, dan magnesium yang hilang melalui peluh, anda boleh mengambil supplement elektrolit seperti Saltstick, BIX Active, atau BIX Salt Electrolyte Caps. -
Makan benda yang masam
Produk yang berasaskan cuka atau jeruk yang memberikan rasa masam memberilkan rangsangan di lidah dan tekak anda untuk menghantar isyarat kepada akar tunjang anda. Isyarat ini menghalang lebihan rangsangan isyarat ke otot yang menyebabkan kekejangan. Anda boleh menggunakan produk seperti CrampFix atau Pickle Juice yang diformulasi khas untuk membantu anda ketika kekejangan.
FAQ : Soalan-soalan Lazim
Soalan 1: Saya masih cramp walaupun saya makan Himalayan Salt Candy? Apa yang perlu saya lakukan?
Mungkin ramai yang menggunakan Himalayan Salt Candy untuk menggantikan elektrolit, tetapi masih mengalami masalah cramp? Semuanya bergantung kepada kandungan garam dalam setiap sajian yang anda gunakan.
Bagi mereka yang aktif dan kuat berpeluh, anda mungkin memerlukan lebih kurang 300mg - 600 mg sodium setiap jam untuk menggantikan garam yang hilang. Anda boleh melakukan sweat test untuk mengetahui peratusan garam yang hilang dengan mudah.
Anda boleh makan dengan lebih kerap setiap jam atau mengambil produk yang mempunyai kandungan elektrolit yang lebih tinggi.
Kesimpulan
Tidak semua masalah kekejangan otot adalah tanda masalah kesihatan serius. Walaupun dalam acara maraton sekalipun, kekejangan otot bukan masalah kecemasan dan para petugas kesihatan mempunyai hak untuk tidak membantu anda. (Ingat, kekejangan bukan kecemasan dalam acara sukan).
Walau bagaimanapun, jika kekejangan otot anda semakin teruk, tidak hilang dengan pergerakan regangan, atau berlaku secara berterusan, adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor.
Dengan mengikuti langkah-langkah pencegahan dan melegakan kekejangan kaki di atas, anda dapat mengurangkan risiko dan kekerapan kekejangan otot. Sentiasa amalkan gaya hidup sihat dan berjumpa doktor jika anda mengalami masalah kekejangan yang berpanjangan.